http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
RENCANA UTAMA
KEHIDUPAN SELEPAS BERSARA
Sebahagian besar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara memilih untuk melakukan pekerjaan mengikut kecenderungan masing-masing. Apakah yang mendorong mereka?
JIKA dihitung takwim tahun baru, sudah tujuh tahun Ahmad Janius Abdullah bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Lelaki berusia 39 tahun itu mengakui kerjaya itu bagaikan nadi baginya.
Ini kerana individu yang menyertai ATM bukan sahaja dibentuk untuk menjadi seorang yang berwibawa dan sanggup berkorban demi negara tercinta, malah mereka dilatih untuk menjadi contoh kepada generasi muda.
Walaupun Ahmad Janius telah melalui satu episod kehidupan yang cukup mencabar dan penuh dengan pahit manis, namun sejurus dia melangkah kaki ke alam persaraan pada 2003, dia tidak hanya duduk di rumah atau memenuhi masa lapangnya dengan melancong. Sebaliknya, Ahmad Janius menceburi perniagaan membekalkan peralatan tentera.
Ketika berkhidmat dalam ATM, anak kelahiran Sabah itu rajin menimba ilmu dalam pelbagai bidang terutama perniagaan.
Bekas komando Kem Sungai Udang, Melaka sejak 1989 itu menyedari bahawa dia akan menerima duit pencen setiap bulan. Cuma, jumlah yang diterima itu tidak cukup untuk menyaranya sekeluarga.
"Sebab itulah ada segelintir pesara tentera terpaksa bekerja dengan syarikat keselamatan sebagai pengawal atau pegawai berdasarkan pengalaman yang dimiliki ketika berkhidmat dengan ATM. Bahkan terdapat juga pesara yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan seperti gerai makan, bengkel kenderaan dan sekolah memandu.
"Mereka yang kurang berkemahiran pula biasanya memilih menjadi petani atau nelayan di kampung," kata lelaki berketurunan Kadazan itu yang sempat membuat perniagaan insurans pada awal persaraannya.
Ahmad Janius membuka sebuah pejabat kecil di Bandar Baru Bangi, Selangor untuk menjalankan kerja-kerja promosi dan menjual polisi insurans secara kecil-kecilan. Dalam tempoh beberapa bulan, bisnes insuransnya semakin mendapat sambutan.
Lelaki berbadan tegap dan berkulit sawo matang itu pada masa yang sama menyediakan ruang kecil untuk meletakkan sebuah almari kaca. Di almari itu dia memperaga koleksi peralatan tentera yang lama untuk tatapan pelanggannya.
Tanpa disangka, item-item itu berjaya menarik minat ramai pelanggan-pelanggan insurans, golongan remaja dan kanak-kanak yang lalu-lalang di depan kedainya.
Sambutan
Selain melihat koleksi tersebut, mereka juga berminat membelinya. Adakalanya, segala yang dipamerkan itu habis dijual.
Anak kedua daripada 12 beradik itu mencuba nasib dengan menjual barang-barang ketenteraan seperti pakaian, kasut, topi keledar, cermin mata dan sebagainya di pasar lambak di pusat beli-belah Amcorp, Petaling Jaya. Memandangkan koleksi barang yang dijualnya unik dan eksklusif, permintaan pun bertambah.
Ahmad Janius membuka bisnes sendiri di bawah nama syarikat RNJ Venture Sdn. Bhd. pada 2005. Perniagaan yang beroperasi di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi itu mengimport kelengkapan ketenteraan dari Indonesia, China, Amerika Syarikat (AS) dan Thailand.
Para pengunjung yang berkunjung ke kedainya boleh mendapat pilihan uniform tentera yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu hutan, digital dan multi plage. Bagaimanapun, rekaan multi lebih banyak mendapat sambutan kerana ia boleh dipakai di mana-mana.
Kedai itu juga menjual kasut-kasut tentera yang berkualiti tinggi dan pelbagai jenis topi keledar untuk kegunaan tentera. Selain itu terdapat juga variasi beg galas, botol air, tali, kompas, pemetik api, pisau serba guna dan lain-lain lagi. Turut dijual alat kawalan jauh dan binokular.
Bekas atlet tinju dan angkat berat itu memberitahu, meskipun sudah meninggalkan ATM tetapi dia masih terbawa-bawa dengan amalan tentera dalam kehidupan sehariannya.
Bapa kepada dua orang anak itu cukup menekankan ketepatan masa. Latihan-latihan tentera yang ditimba banyak membantunya menguruskan satu lagi cawangan perniagaannya di Bandung, Indonesia. Lazimnya, sebelum tidur, Ahmad Janius akan menulis perancangan harian untuk keesokan hari.
"Kalau tidak buat perancangan, rutin harian saya akan jadi buntu. Ketika bekerja dengan ATM, apa sahaja tugas perlu dibuat mengikut perancangan, perkara yang tiada perancangan akan menemui kegagalan.
"Saya masih mengamalkan tabiat baik ini untuk mengembangkan perniagaan," ujar lelaki itu.
1 comment:
tahniah..boss
Post a Comment